Cnidaria

Cnidaria
Julat zaman: Ediakaran–Kini
Contoh-contoh spesis Cnidaria:
Pengelasan saintifik s
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Subalam: Eumetazoa
Filum: Cnidaria
Hatschek, 1888
Spesies jenis
Nematostella vectensis[4]
Subfilum dan kelas[3]

Cnidaria ialah sejenis filum di bawah alam haiwan (Animalia) yang meliputi 11,000 jenis spesies akuatik yang meliputi ubur-ubur, batu karang dan buran. Spesies-spesies Cnidaria lazimnya hidup di kawasan marin dengan segelintir spesies hidup di kawasan air tawar.[5] Ciri utama spesies Cnidaria ialah kewujudan sel-sel sengatan (cnidocyte) yang digunakan untuk memerangkap mangsa. Kulit spesies Cnidaria pula terdiri daripada dua lapisan sel eptileum (endoderma dan ektoderma) dengan suatu lapisan gel di antara kedua-dua lapisan (mesoglia).

Cnidaria terbahagi kepada dua jenis badan asas, iaitu medusa yang berenang dan polip yang sesil. Kedua-dua badan berbentuk simetri radial dengan mulut dikelilingi sesungut yang membawa sel-sel sengatan. Kedua-dua jenis badan mempunyai bukaan dan rongga badan yang digunakan untuk pencernaan dan pernafasan. Kebanyakan spesies wujud dalam bentuk koloni, iaitu organisma tunggal yang terdiri daripada berbilang zooid yang berupa medusa mahupun polip, atau kedua-duanya sekali. Aktiviti Cnidaria diselaraskan oleh jaring saraf terpencar dan saraf-saraf penerima ringkas. Sesetengah spesies Cubozoa dan Scyphozoa mempunyai statosista yang merasai keseimbangan, malah ada di kalangannya yang mempunyai mata ringkas. Bukan semua Cnidaria membiak secara seksual, tetapi banyak spesies mempunyai kitaran hidup kompleks yang terdiri daripada peringkat polip aseks dan peringkat medusa seksual. Ada spesies yang tersingkir peringkat polip atau medusa, malahan kelas-kelas parasit telah berevolusi untuk tidak mempunyai bentuk polip mahupun medusa.

Cnidaria dahulunya tergolong bersama Ctenophora dalam filum Coelenterata, tetapi kemudian diasingkan ke dalam dua filum berbeza setelah meningkatnya kesedaran akan perbezaan antara kedua-dua golongan itu.[6] Cnidaria terdiri daripada empat kelompok utama, iaitu: Anthozoa yang rata-rata sesil (buran, karang, pena laut); Scyphozoa yang berenang (ubur-ubur); Cubozoa (ubur-ubur kotak); dan Hydrozoa (kelompok aneka ragam yang termasuk kesemua Cnidaria air tawar dan juga banyak bentuk marin, malah terdiri daripada ahli sesil seperti Hydra dan perenang berkoloni seperti ubur-ubur api). Staurozoa baru-baru ini teriktiraf sebagai kelas tersendiri daripada subkumpulan Scyphozoa, manakala Myxozoa dan Polypodiozoa yang bersifat parasit teriktiraf sebagai Cnidaria pada tahun 2007.[7]

Kebanyakan Cnidaria memangsakan organisme dari sekecil plankton hingga haiwan sebesar berkali ganda lebih besar, tetapi banyak juga yang menerima zat daripada Dinoflagellata, malah juga terdapat sebilangan ahli parasit. Kebanyakan Cnidaria juga dijadikan mangsa oleh haiwan-haiwan lain seperti tapak sulaiman, lintah laut, ikan, penyu dan juga Cnidaria lain. Kebanyakan karang Scleractinia—yang membentuk asas binaan untuk terumbu karang—mempunyai polip-polip yang berisi zooxanthellae simbiotik berfotosintesis. Padahal karang-karang yang membentuk terumbu rata-rata tertumpu di perairan laut yang hangat dan cetek, Cnidaria lain terjumpa di kawasan-kawasan dalam, kawasan kutub, dan air tawar.

Analisis filogenetik pada sekitar tahun 2015 menyokong status monofili Cnidaria dan juga kedudukan Cnidaria setaraf dengan Bilateria.[8] Fosil Cnidaria telah ditemui dalam batu-batuan yang terbentuk kira-kora 580 juta tahun dahulu, manakala terdapat fosil-fosil lain yang menunjukkan bahawa batu karang sudah hadir sejurus sebelum 490 juta tahun dahulu dan mempelbagai beberapa juta tahun kemudian. Akan tetapi, analisis jam molekul pada gen-gen mitokondrion menandakan usia yang jauh lebih lama bagi crown group (kelompok mercu) Cnidaria, iaitu dianggarkan kira-kira 741 juta tahun dahulu, hampir 200 juta tahun sebelum kala Kambria dan juga sebelum terbentuknya sebarang fosil.[9]

  1. ^ Classes in Medusozoa based on "ITIS Report – Taxon: Subphylum Medusozoa". Universal Taxonomic Services. Dicapai pada 2018-03-18.
  2. ^ Collins, A.G. (May 2002). "Phylogeny of Medusozoa and the Evolution of Cnidarian Life Cycles" (PDF). Journal of Evolutionary Biology. 15 (3): 418–432. doi:10.1046/j.1420-9101.2002.00403.x. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2006-09-22. Dicapai pada 2008-11-27.
  3. ^ Subphyla Anthozoa and Medusozoa based on "The Taxonomicon – Taxon: Phylum Cnidaria". Universal Taxonomic Services. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-29. Dicapai pada 2007-07-10.
  4. ^ Steele, Robert E.; Technau, Ulrich (2011-04-15). "Evolutionary crossroads in developmental biology: Cnidaria". Development (dalam bahasa Inggeris). 138 (8): 1447–1458. doi:10.1242/dev.048959. ISSN 0950-1991. PMC 3062418. PMID 21389047.
  5. ^ "WoRMS - World Register of Marine Species". www.marinespecies.org. Dicapai pada 2018-12-17.
  6. ^ Dunn, Casey W.; Leys, Sally P.; Haddock, Steven H.D. (May 2015). "The hidden biology of sponges and ctenophores". Trends in Ecology & Evolution. 30 (5): 282–291. doi:10.1016/j.tree.2015.03.003. PMID 25840473.
  7. ^ E. Jímenez-Guri; dll. (July 2007). "Buddenbrockia is a cnidarian worm". Science. 317 (116): 116–118. Bibcode:2007Sci...317..116J. doi:10.1126/science.1142024. PMID 17615357. S2CID 5170702.
  8. ^ Zapata F, Goetz FE, Smith SA, dll. (2015). "Phylogenomic Analyses Support Traditional Relationships within Cnidaria". PLOS ONE. 10 (10): e0139068. Bibcode:2015PLoSO..1039068Z. doi:10.1371/journal.pone.0139068. PMC 4605497. PMID 26465609.
  9. ^ Park E, Hwang D, Lee J, dll. (January 2012). "Estimation of divergence times in cnidarian evolution based on mitochondrial protein-coding genes and the fossil record". Molecular Phylogenetics & Evolution. 62 (1): 329–45. doi:10.1016/j.ympev.2011.10.008. PMID 22040765.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne