Tsunami

Tsunami akibat gempa bumi Lautan Hindi 2004 melanda pantai Thailand.
Animasi tsunami berikutan gempa 26 Disember 2004.

Tsunami (津波, "ombak pelabuhan", Jawi: تسونامي) atau semong (Jawi: سموڠ) merupakan satu siri ombak yang berlaku selepas gempa bumi , tanah runtuh(di dasar laut), aktiviti gunung berapi, letupan, atau hentaman meteor yang berlaku di dalam atau berhampiran laut. Tenaga dijana dalam setiap tsunami atau semong ini adalah tetap dari segi fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Oleh itu, apabila gelombang semong menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi boleh meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih sehingga boleh dinampakkan menaik seakan air pasang deras tidak seperti ombak biasa yang pecah meneduh.[1] Tsunami boleh menyebabkan kerosakan teruk pada kawasan persisiran pantai dan kepulauan.

Kebanyakan bandar di sekitar Lautan Pasifik, terutamanya di Jepun tetapi juga di Hawaii, mempunyai sistem amaran dan prosedur pemindahan sekiranya tsunami yang serius berlaku. Tsunami boleh dijangka dengan pelbagai institusi seismologi di sekeliling dunia dan perkembangannya dipantau melalui satelit.

Bukti menunjukkan tidak mustahil berlakunya megatsunami, yang disebabkan oleh sebahagian besar pulau yang runtuh ke dalam laut. Lebih ramai orang dibunuh oleh tsunami daripada gempa bumi.

  1. ^ "Tsunami 101". University of Washington. Dicapai pada 1 Disember 2018.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne