Badan perundangan

Badan perundangan (Jawi: بادن ڤراوندڠن) ialah sejenis majlis perundingan perwakilan yang memiliki kuasa untuk menggubal, meminda dan meratifikasi undang-undang. Ia dikenali dengan banyak nama, dengan yang paling umum merupakan parlimen dan kongres, walaupun istilah-istilah itu juga membawa pengertian yang lebih khusus. Dalam sistem berparlimen, badan perundangan ialah badan yang tertinggi dan yang melantik cabang eksekutif. Dalam sistem berpresiden, badan perundangan dianggap sebagai cabang tersendiri yang kuasanya sama sahaja dengan cabang eksekutif. Selain daripada menggubal undang-undang, badan perundangan biasanya mempunyai kuasa tersendiri untuk menaikkan cukai dan menerapkan belanjawan serta rang undang-undang wang yang lain. Kebenaran dewan perundangan juga biasanya diperlukan sebelum mengikat perjanjian perdamaian atau mengisytiharkan perang.

Komponen utama badan perundangan merupakan satu atau lebih dewan yang mendebatkan dan menerima rang undang-undang melalui undi. Sebuah badan perundangan boleh memiliki hanya satu (ekadewan) atau dua dewan (dwidewan) yang berasingan. Badan perundangan dwidewan terdiri daripada dua dewan yang biasanya diperihalkan sebagai dewan pertuanan atau senat yang atas dan dewan rakyat yang bawah. Tugas, kuasa, dan kaedah yang digunakan untuk memilih anggota adalah tidak sama untuk kedua-dua dewan tersebut. Badan perundangan tridewan jarang ditemui, dengan yang paling terkini wujud semasa tahun-tahun kuasa berkurang pemerintahan minoriti orang kulit putih di Afrika Selatan.

Dalam kebanyakan sistem berparlimen, Dewan Rakyat ialah dewan yang lebih berkuasa, manakala Dewan Pertuanan hanya merupakan dewan penasihat atau kajian semula. Bagaimanapun, dalam sistem berpresiden, kuasa kedua-dua dewan seringnya adalah serupa atau sama. Dalam persekutuan, Dewan Pertuanan biasanya mewakili negeri-negeri komponen, dengan keadaan yang sama diamalkan oleh dewan perundangan supranasional di Kesatuan Eropah. Bagi tujuan ini, anggota Dewan Pertuanan:

  • terdiri daripada wakil kerajaan negeri, sebagaimana dengan Kesatuan Eropah dan Jerman serta juga Amerika Syarikat sebelum tahun 1913; atau
  • dipilih menepati formula yang memberikan perwakilan yang sama kepada negeri-negeri yang kecil jumlah penduduknya, sebagaimana dengan Australia dan Amerika Syarikat moden.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne