Facebook

Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. (kini Meta Platforms). Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan serangkai dan saling menghantar pesanan, serta mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di Amerika Syarikat dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali (bahasa Inggeris: face book, "buku muka").[1]

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Andrew McCollum, Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Universiti Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Universiti Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu "face book".

Facebook juga berdepan dengan kontroversi. Mula-mulanya, ia pernah disekat secara sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam, dan Iran. Facebook juga dilarang di kebanyakan tempat kerja untuk menghindarkan para pekerja daripada membuang masa bersama perkhidmatannya.

Satu lagi isu adalah para pengguna Facebook dicabuli privasi mereka beberapa kali. Facebook pernah menjelaskan tuntutan mahkamah mengenai kod sumber dan harta intelek. Tapak web ini juga pernah terlibat dalam kontroversi penjualan peminat dan rakan-rakan.

  1. ^ Tabak, Alan J. (9 Februari 2004). "Hundreds Register for New Facebook Website". Harvard Crimson.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne