Lingua franca

Lingua franca (dari bahasa Itali, bererti bahasa Frank) atau bahasa perantara merupakan bahasa perantaraan yang digunakan secara sistematik untuk tujuan perhubungan antara orang-orang yang tidak sama bahasa ibundanya, khususnya bahasa ketiga yang berbeza dari bahasa ibunda dua belah pihak.[1] Lingua franca ditakrifkan berdasarkan fungsi, tanpa mengambil kira sejarah atau struktur bahasa itu:[2] walaupun ada bahasa campuran (pijin dan patois) yang berperanan sebagai lingua franca, namun kebanyakan lingua franca bukan bahasa campuran. Istilah lingua franca juga memaksudkan bahasa yang dikhususkan pada satu bidang tertentu, seperti bahasa Inggeris atau bahasa Latin bagi kajian sains.

Lingua franca bersinonim dengan bahasa penghubung (vehicular language). Padahal bahasa vernakular merupakan bahasa asli dalam lingkungan sebuah komuniti penuturnya, bahasa vehicular pula menjangkaui batas komuniti asalnya, lalu dijadikan bahasa kedua untuk kegunaan perhubungan antara komuniti. Contoh, bahasa Inggeris adalah bahasa vernakular di Amerika Syarikat, tetapi di Pakistan pula dijadikan bahasa penghubung (iaitu lingua franca).

Bahasa perantaraan antarabangsa seperti bahasa Esperanto atau bahasa Interlingua direka dengan tujuan sebagai lingua franca pilihan alternatif, tetapi sayangnya penerimaannya tidak memberangsakan/memartabatkan bahasa yang telah direka itu (contohnya pada bahasa Esperanto yang dianggarkan hanya sekitar 100,000 sehingga 2 juta penutur fasih di seluruh dunia).

  1. ^ Viacheslav A. Chirikba, "The problem of the Caucasian Sprachbund" in Pieter Muysken, ed., From Linguistic Areas to Areal Linguistics, 2008, p. 31. ISBN 90-272-3100-1
  2. ^ http://privatewww.essex.ac.uk/~patrickp/Courses/PCs/IntroPidginsCreoles.htm

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne