Negeri Sembilan
Nogori Sombilan, Nismilan | |
---|---|
Negeri Sembilan Darul Khusus نݢري سمبيلن دار الخصوص | |
Transkripsi lain | |
• Tulisan Jawi | نڬري سمبيلن |
• Cina | 森美兰 Sēnměilán (Hanyu Pinyin) |
• Tamil | நெகிரி செம்பிலான் Nekiri Cempilāṉ (Transliterasi) |
Nama panggilan: Negeri Beradat | |
Lagu: Berkatlah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan برکتله يڠ دڤرتوان بسر نݢري سمبيلن | |
![]() Peta sempadan darat Negeri Sembilan | |
![]() Kedudukan Negeri Sembilan dalam Malaysia | |
Koordinat: 2°45′N 102°15′E / 2.750°N 102.250°E | |
Negara | Malaysia |
Pengasasan | 1773 |
Penubuhan rasmi | 1895 |
Dinamakan bersempena | Sembilan buah negeri atau luak |
Ibu negeri (dan bandar terbesar) | Seremban |
Bandar diraja | Seri Menanti |
Pentadbiran | |
• Jenis | Pemerintahan beraja berperlembagaan elektif dan demokrasi berparlimen |
• Yang di-Pertuan Besar | Tuanku Muhriz |
• Menteri Besar | Aminuddin Harun |
Keluasan | |
• Jumlah | 6,686 km2 (2,581 batu persegi) |
Penduduk (2020)[1] | |
• Jumlah | 1,199,974 |
• Kepadatan | 180/km2 (460/batu persegi) |
Demonim | Orang Negeri Sembilan (loghat tempatan: Urang Nogori) |
Bahasa | |
• Rasmi | Bahasa Melayu |
• Pertuturan | Bahasa Melayu Negeri Sembilan • Bahasa Cina (Mandarin, Kantonis dan Hakka) • Bahasa Tamil • Bahasa Temuan |
Poskod | 70xxx sehingga 73xxx |
Kod panggilan | 06 |
Kod ISO 3166 | ISO 3166-2:MY-05 |
Huruf plat kenderaan | N |
IPM (2023) | 0.820 (sangat tinggi) (ke-7) |
KDNK (2023) | RM63,308 juta |
Laman sesawang | www |
Negeri Sembilan (sebutan dalam loghat tempatan: Nogori Sombilan, Nismilan; Jawi: نڬري سمبيلن) juga dikenali sebagai Negeri Sembilan Darul Khusus ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan Selangor di sebelah utara, Pahang di sebelah timur, Johor di sebelah tenggara dan Melaka di sebelah selatan.[2]
Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri beriklim khatulistiwa. Kawasan tanah tingginya merupakan sebahagian daripada sistem pergunungan Banjaran Titiwangsa, dengan Gunung Besar Hantu sebagai titik tertinggi. Jajaran utama banjaran itu juga berakhir di negeri ini, lebih tepatnya di Gunung Tampin yang terletak di bahagian selatan negeri.
Ibu negerinya ialah Seremban, yang juga merupakan bandar terbesar di negeri ini. Bandar dirajanya ialah Seri Menanti yang terletak di daerah Kuala Pilah. Bandar-bandar utama yang lain termasuklah Port Dickson, Kuala Pilah, Nilai dan Bahau.
Sektor-sektor pertanian, pengilangan dan perkhidmatan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Negeri Sembilan. Daerah Seremban dan Daerah Port Dickson merupakan hab ekonomi utama negeri ini, dengan kedua-duanya membentuk koridor Lembah Wawasan Malaysia.
Nama Negeri Sembilan dipercayai muncul setelah masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang bermukim di sembilan luak atau nagari membentuk sebuah konfederasi. Selanjutnya sebagai penyatuan masyarakat maka diangkatlah seorang raja yang pada awalnya mereka minta dari keturunan Yang Dipertuan Pagarruyung.[3]
Berbeza dengan sistem beraja di negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan mengamalkan sistem beraja elektif dan prinsip koregensi (pemerintahan bersama). Pemerintahnya dikenali sebagai Yang di-Pertuan Besar atau juga dikenali sebagai Yamtuan Besar dan memerintah bersama Dato'-Dato' Undang serta Tunku Besar Tampin iaitu pemerintah luak berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Baginda dipilih dan dilantik melalui persepakatan Dato'- Dato' Undang yang mentadbir empat luak terbesar iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol, dan Rembau, daripada kerabat-kerabat lelaki yang sah daripada Wangsa Pagaruyung, dengan putera-putera Yamtuan terdahulu yang masih hidup didahulukan dalam pertimbangan tetapi tidak wajib untuk diundi, menjadikannya salah satu daripada sistem beraja yang lebih demokratik. Negeri Sembilan juga mengamalkan sistem raja berperlembagaan sepertimana negeri-negeri Melayu beraja lain.