Islam di Bosnia dan Herzegovina

Masjid Tsar yang dibina pada zaman Uthmaniyyah merupakan masjid yang tertua di Sarajevo, ibu negara dan bandar raya terbesar Bosnia dan Herzegovina.

Orang Bosniak moden, kadang-kala dirujuk sebagai Orang Muslim Bosnia, berketurunan daripada mualaf Bosnia abad ke-15 dan ke-16 yang hidup di bawah Kerajaan Bosnia (mereka memanggil diri sebagai "Dobri Bošnjani" yang bermaksud "Bosnia Baik" dalam bahasa lama Bosnia). Orang Bosniak umumya penganut agama Islam Sunah Waljamaah walaupun mengikut sejarah, aliran Tasawwuf telah memainkan peranan penting di negara itu.

Statistik yang boleh dipercayai tentang bilangan tepat penganut agama Islam masih tidak boleh didapati sejak 1991, akibat perang di Bosnia yang berlaku baru-baru ini.

Menurut Laporan Pembangunan Manusia 2002 oleh UNDP, orang Muslim terdiri daripada 50% jumlah penduduk Bosnia dan Herzegovina yang dianggarkan dalam lingkungan 4.4 juta. Anggaran ini dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, walaupun banci yang boleh dipercayai tidak diadakan sejak 1991.

Penganut-penganut agama lain yang wujud bersama dengan penganut Islam di Bosnia ialah Gereja Ortodoks Serbia (35-37%), Gereja Roman Katolik (14-16%), dan golongan-golongan lain, termasuk orang yang tidak beragama yang terdiri daripada 6-11% jumlah penduduk. Komuniti kecil Yahudi mempunyai lebih kurang 1,000 penganut serta mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat, disebabkan sejarah lama kewujudan bersama dengan komuniti-komuniti agama yang lain serta peranannya yang aktif sebagai orang tengah antara komuniti-komuniti itu.


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne