Mahabharata

Suatu babak daripada Mahabharata di mana Vyasa sedang bercerita kepada Raja Janamejaya.

Mahabharata (Sanskrit: महाभारतम्, rumi: Mahābhāratam) merupakan salah satu daripada dua epik utama berbahasa Sanskrit dari India purba, epik yang lain ialah Ramayana. Mahabharata meriwayatkan Peperangan Kurukshetra yang berlaku di antara putera-putera Pandava dan Kaurava. Mahakarya ini juga mengandungi bahan-bahan falsafah, agama dan kerohanian. Mahabharata juga mengandungi kitab suci orang Hindu yang utama iaitu Bhagavad Gita. Mahabharata yang disanjung tinggi sebagai Pañcama Veda (Veda ke-5) merupakan sebuah ensiklopedia agama dan kebudayaan agama Hindu.

Mahabharata dikatakan telah ditulis oleh Vyasa. Sehingga kini, masih terdapat pelbagai pendapat tentang sejarah dan perkembangan mahakarya ini dan para sejarawan dan cendekiawan Hindu dan Barat masih mengemukakan pelbagai teori tentang tarikhnya. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa Mahabharata ialah epik terbesar daripada India purba dan merupakan 'puisi terpanjang yang pernah ditulis'. Versinya yang paling panjang mengandungi lebih 100,000 shloka atau lebih 200,000 ayat-ayat. Keseluruhannya, Mahabharata mengandungi 1.8 juta perkataan, iaitu sepuluh kali ganda lebih panjang daripada gabungan Ilias dan Odýsseia, atau empat kali ganda saiz Ramayana. W.J. Johnson membandingkan kepentingan Mahabharata dalam konteks tamadun dunia dengan Kitab Injil, karya-karya Shakespeare, karya-karya Homeros, drama Yunani, atau Al-Quran.[1]

  1. ^ W.J.Johnson (1998). The Sauptikaparvan of the Mahabharata: The Massacre at Night. Oxford University Press. p. ix. ISBN 978-0-19-282361-8.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne