Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau singkatannya PBS ialah satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan Malaysia. Pentaksiran ini merupakan sesuatu yang agak baharu dalam pendidikan di Malaysia, yang selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ia memainkan peranan penting bagi tujuan melahirkan murid-murid yang seimbang dalam pelbagai aspek.[1]

Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kementerian prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan peperiksaan. Justeru, Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.

PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

PBS mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014 pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

  1. ^ "Transformasi Pentaksiran". Diambil 26 Oktober 2013.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne