Semenanjung Malaysia

peta semenanjung Malaysia

Semenanjung Malaysia atau Malaysia Barat dahulunya dikenali sebagai Malaya atau Tanah Melayu British ialah sebahagian Malaysia yang meliputi separuh bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu, dan merupakan gabungan 11 buah negeri (ketika itu) yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Semenanjung Malaysia kini, terdiri daripada 11 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan. Negeri-negeri tersebut ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia adalah 131,598 kilometer persegi.

Semenanjung Malaysia berkongsi sempadan darat dengan Thailand di bahagian utara dan sempadan maritim dengan Singapura di bahagian selatan, oleh Selat Johor. Semenanjung Malaysia juga mempunyai sempadan maritim dengan Indonesia di Selat Melaka dan Laut China Selatan, iaitu dengan Sumatera dan Kepulauan Riau, dan juga dengan Vietnam di Laut China Selatan. Manakala Malaysia Timur (Sabah, Brunei dan Sarawak) terletak di seberang timur Semenanjung Malaysia merentasi Laut China Selatan.

Hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia diketuai oleh sultan atau raja kecuali Melaka dan Pulau Pinang. Sembilan negeri yang diketuai oleh raja terdiri dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Gelaran Sultan digunakan di negeri-negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, manakala Perlis pula menggelarkan baginda pemerintah mereka sebagai Raja, dan di Negeri Sembilan, baginda digelar Yamtuan Besar atau secara rasminya Yang di-Pertuan Besar.


From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne