Landak laut

Landak laut
Julat zaman:
Tripneustes ventricosus dan Echinometra viridis
Pengelasan saintifik s
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Echinodermata
Subfilum: Echinozoa
Kelas: Echinoidea
Leske, 1778
Subkelas

Landak laut (Jawi: لندق لاءوت) merupakan haiwan ekinoderma yang lazimnya berupa bebola berduri dalam kelas Echinoidea. Kira-kira 950 spesies hidup di dasar laut, mendiami semua lautan dan zon kedalaman dari kawasan antara perbani (intertidal) hingga 5,000 meter (16,000 ka; 2,700 fathom).[1] Rangka badan haiwan ini merupakan cangkang (testa) keras yang berbentuk bulat dan berduri, biasanya berdiameter dari 3 hingga 10 cm (1 hingga 4 in). Landak laut bergerak perlahan, merangkak dengan "kaki tiub", dan kadang-kadang mendorong dirinya dengan duri. Sumber makanan utamanya ialah alga tetapi ia juga memangsakan haiwan yang sesil atau bergerak perlahan. Antara pemangsanya ialah memerang, tapak sulaiman, dan manusia.

Seperti ekinoderma lain, landak laut dewasa mempunyai simetri lima kali ganda, tetapi larvanya iaitu pluteus mempunyai simetri bilateral (dua rusuk) yang menunjukkan bahawa makhluk ini tergolong dalam Bilateria, iaitu kelompok besar filum haiwan yang juga terdiri daripada kordata, artropod, annelida dan moluska. Landak laut tersebar luas di seluruh lautan, semua iklim dari tropika hingga kutub, mendiami habitat marin bentik (dasar laut) dari pantai berbatu hingga kedalaman zon hadal. Rumpun landak laut mempunyai catatan fosil yang kaya sejak zaman Ordovisi, kira-kira 450 juta tahun yang lalu. Saudara terdekatnya di kalangan ekinoderma ialah gamat (Holothuroidea); kedua-duanya merupakan deuterostomia, iaitu klad yang merangkumi kordata.

Landak laut telah dikaji sejak abad ke-19 sebagai organisma contoh dalam bidang biologi perkembangan, kerana embrionya mudah diperhatikan; ini dilanjutkan lagi dengan kajian genom terhadap landak laut kerana simetri lima rusuknya yang luar biasa serta hubungannya dengan kordata. Spesies-spesies seperti Eucidaris tribuloides popular di akuarium di mana ia digunakan untuk mengawal pertumbuhan alga. Landak fosil telah digunakan sebagai azimat pelindung.

  1. ^ "Animal Diversity Web – Echinoidea". University of Michigan Museum of Zoology. Dicapai pada 26 August 2012.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne