Mahadeva

Siwa di Rishikesh

Siwa[1] (Jawi: سيوا, Sanskrit: शिव, rumi: Śiva bermaksud "Penuh Tuah", Jawa: ꦯꦶꦮ, translit. Siwa serta diinggeriskan kepada Shiva) juga dikenal sebagai Mahadewa (Sanskrit: महादेव:, rumi: Mahādevaḥ "Dewa Yang Agung")[1][2][3][4] ialah salah seorang dewa utama dipercayai dalam agama Hindu. Siwa ialah betara agung paling utama dianuti aliran Saivisme iaitu salah satu mazhab yang paling berpengaruh dalam Hinduisme kini. Dalam kalangan Trimurti, Siwa ialah "Pemusnah" atau aspek kemusnahan.

Pada tahap yang tertinggi, Siwa dianggap sebagai tidak terhad, tidak berubah, dan tiada rupa. Siwa juga mempunyai banyak rupa, yang mesra dan menakutkan. Dalam rupa mesra, Siwa digambarkan sebagai seorang Yogi yang maha mengetahui, yang menghuni Gunung Kailasa. Siwa juga digambarkan sebagai Suami Devi Parvati dan Bapa Gana dan Kartikeya. Dalam rupa yang menakutkan, Siwa sering digambarkan membunuh raksasa-raksasa. Siwa juga digelar sebagai Dewa yoga dan kesenian.

Ikon utama Siwa ialah mata ketiga pada dahi-Nya, ular Vasuki yang terlilit di leher-Nya, dan bulan sabit yang menghiasi rambut-Nya. Sungai Gangga yang suci mengalir dari kusutan rambut-Nya. Siwa bersenjatakan trisula. Siwa juga memainkan damaru, sejenis peralatan muzik. Siwa biasanya disembah dalam rupa lingga.

Secara literal, Siwa ialah tempat tidur Alam Semesta selepas pralaya (kemusnahan) sehingga ciptaan bermula semula. Semua yang lahir mesti mati. Semua yang diwujudkan akan musnah. Ini ialah hukum alamiah. Siwa adalah prinsip atau kuasa yang menyebabkan proses kemusnahan ini.

Alam semesta ini akan berlerai menjadi kekosongan. Kekosongan yang tidak terhad ini seterusnya akan melahirkan alam semesta-alam semesta baru. Proses ini berulang tanpa berhenti. Siwa adalah proses ini. Meskipun Siwa dikatakan sebagai Pembawa kemusnahan alam semesta, Dia juga bertanggungjawab untuk ciptaan dan pemeliharaan alam semesta. Dalam konteks ini, Siwa juga menjadi Berama dan Wisnu. Identiti ini diceritakan dalam beberapa buah Purana. Dalam sebuah Purana, Siwa dikatakan telah lahir daripada rahim tiang api yang tiada kesudahan. Purana yang lain pula menceritakan bahawa Siwa lahir daripada kening Berama yang marah atau yang mengidamkan seorang putera.

  1. ^ a b Wilkinson, Richard James (1932). "Siwa". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 484.
  2. ^ Sharma 2000, m/s. 65.
  3. ^ Issitt & Main 2014, m/s. 147, 168.
  4. ^ Flood 1996, m/s. 151.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne