Televisyen

Peti TV berskrin leper (Sony Trinitron)

Televisyen (Jawi: تيليۏيشن) atau televisi (Jawi: تيليۏيسي, singkatan: TV) ialah sejenis media telekomunikasi terkenal yang digunakan untuk memancarkan dan menerima gambar bergerak, sama ada monokrom ("hitam putih") mahupun warna, lazimnya diiringi bunyi. "Televisyen" ini sendiri boleh bertindih makna membawa maksud peti perkakas, siaran rancangan atau pemancaran menggunakan media ini.

Peti televisyen yang dijual sejak akhir 1930-an sudah menjadi salah satu alat penerima komunikasi utama dalam rumah, perniagaan dan institusi, khususnya sebagai sumber hiburan dan berita. Sejak 1970-an, kemunculan pita video, cakera laser, DVD, dan kini Blu-ray juga menjadikan peti televisyen sebagai alat untuk menayangkan bahan rakaman.

Walaupun terdapat kegunaan televisyen yang lain seperti televisyen litar tertutup, namun kegunaan yang paling utama ialah penyiaran televisyen yang berasaskan sistem penyiaran radio sedia ada yang dibangunkan pada 1920-an, menggunakan pemancar frekuensi radio berkuasa tinggi untuk menyiarkan isyarat televisyen ke penerima TV.

Penyiaran TV biasanya disebarkan melalui pancaran radio dalam saluran-saluran yang ditetapkan dalam jalur frekuensi 54-890 megahertz.[1] Isyarat TV juga kini dipancarkan dengan bunyi stereo atau bunyi keliling di kebanyakan negara. Siaran TV mula-mulanya dirakam dan dipancarkan dalam bentuk isyarat analog, tetapi kebelakangan ini penyiar awam mahupun swasta kian beralih ke teknologi televisyen digital.

Sebuah peti televisyen biasa terdiri daripada bermacam-macam litar elektronik di dalamnya, termasuk litar penerima dan penyahkod isyarat penyiaran. Peranti paparan visual yang tiada penala sewajarnya dipanggil monitor, bukannya televisyen. Sesebuah sistem televisyen boleh memakai pelbagai piawaian teknikal seperti analog (PAL, NTSC, SECAM), digital (DVB, ATSC, ISDB dsb.) ataupun definisi tinggi (HDTV). Sistem televisyen juga digunakan untuk pantauan keselamatan, kawalan proses industri, dan panduan senjata, di tempat-tempat yang sukar atau terlalu bahaya untuk diperhati dengan dekat.

Televisyen amatur (ham TV atau ATV) juga digunakan untuk acara eksperimen, suka ria dan perkhidmatan awam oleh pengendali radio amatur. Stesen TV amatur pernah digiatkan di kawasan bandar raya sebelum kemunculan stesen TV komersil.[2]

  1. ^ Television Frequency Table, CSGNetwork.com., a Division of Computer Support Group.
  2. ^ Kowalewski, Anthony, "An Amateur's Television Transmitter" Diarkibkan 2011-09-24 di Wayback Machine, Radio News, April 1938. Early Television Museum and Foundation Website, retrieved 2009-07-19.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne